Sunday, January 29, 2006

senyum......senyum....SENYUM..

Dihantar Oleh : basharmad

"Hadis dari Abu Dzar R.A. bahawa Rasulallah SAW yang bermaksud "Tidak ada lain dari anak Adam itu sedekah pada tiap-tiap hari yang naik matahari padanya."
Bertanya para sahabat, "Dari mana datangnya harta untuk kami bersedekah wahai Rasulallah?" Sabda Nabi, "Bahawa pintu-pintu kebajikan itu banyak; Tasbih, Takbir, Tahlil, Amar makruf dan mencegah mungkar, membuang duri di jalan, mendengar orang pekak, menunjuk jalan kepada orang buta, menunjuk arah perjalanan kepada yang meminta ditunjuk, memberi air minuman kepada yang dahaga, menolong meringankan beban orang yang tidak berdaya.

Semua itu sedekah bagi diri kamu." Malah dalam riwayat yang lain menambah, "Senyum anda terhadap saudara anda adalah sedekah." Hadis riwayat Ibn Hiban dan Al Baihaqi. Ini adalah sebuah hadis yang dikira cukup baik yang memerlukan setiap orang berfikir, dapat mengetuk dan membuka pintu hati dan jiwa manusia kearah kebajikan dan juga dapat mengikat diri manusia dengan kasih sayang dan cinta yang mendalam.

"SEDEKAH" perkataan yang selalu didengar, biasanya dikaitkan dengan wang ringgit dan hartabenda. Ia berlaku apabila si kaya membantu si miskin, atau orang yang kuat memberi pertolongan kepada mereka yang memerlukan. Demikianlah fahaman sempit yang selalu kita dengar dan kesannyapun amat terhad.

Tidaklah dinafikan bahawa ianya mampu menjadi satu mekanisma untuk menwujudkan keadilan sosial dalam masyarakat, tetapi hadis ini meluaskan lagi skop sedekah dan pemikiran mengenainya; iaitu dari makna kebendaan kepada makna yang bersifat kejiwaan, membuka suatu ruang yang luas tanpa sempadan.

"SETIAP YANG BAIK ITU SEDEKAH.....
SETIAP ORANG MAMPU BERSEDEKAH." Benar, sedekah dari skop kebendaan adalah terbit dari hati yang baik, kalau tidak sedekah atau derma itu menjadi riyak, bohong, menunjuk-menunjuk kotor dan keluar dari hati yang tidak ikhlas. Maka kalau sedekah yang lahir dari hati yang tulus dan jiwa yang baik, itulah sumber kebaikan yang sebenar kerana setiap yang baik terbit dari jiwa yang baik dan setiap yang kotor keluar dari hati yang kotor.

Jesteru itu, sebuah senyuman manis yang ikhlas adalah lahir dari jiwa yang jernih dan tulus ikhlas. Itulah realitinya.

Seseorang yang membantu orang lain dengan wang seringgit atau dua ringgit, membantu orang yang lemah melintas jalan, menolong mengangkat barang yang berat ataupun lain-lain yang seumpama, dan ianya terbit dari hati yang bersih dan ikhlas maka itulah yang dikatakan rasa kemanusiaan yang amat tinggi nilainya. yakni dengan menolong sesama manusia terasa ada hubungan kemanusiaan antara yang menolong dan yang ditolong.

Melalui hadis ini, Rasullallah menggambarkan betapa kebaikan hati dan jiwa itulah punca yang melahirkan kebaikan berupa senyuman atau lain-lain bentuk sedekah.

Rasullallah SAW bukan sekadar memberitahu tetapi Baginda juga mahu agar kita sama-sama mengerti dan faham akan tujuan dan kehendak Islam, dengan kata lain, Rasullallah SAW mahu kita semua bergerak ke arah kebaikan dan juga diluaskan skop kebaikan sejagat. Kebaikan perlu ada pada setiap insan.

Jika sedekah dihadkan kepada bentuk material, nescaya kebaikan itu juga terhad kepada mereka yang berada sahaja, tetapi Rasullallah SAW mahu kebaikan itu berada di setiap diri individu, yang mana cahayanya akan melimpah ruah yang tidak ada had dan kesudahannya.

SENYUM DAN SENYUMLAH itulah sedekah yang paling mudah. Tetapi sesetengah orang amat berat dan payah sekali untuk berbuat demikian.

Ada yang sukar memberi senyuman, mungkin jiwanya sakit atau dalam dirinya tertutup pintu kebaikan dan kebajikan. Mukanya masam dan kusam. Menjengkil perasaan benci kepada sesama manusia. Isunya disini bukanlah seteguk air, sesuap nasi, atau sebuku roti, tetapi "pemberian" yang didalangi oleh gerak dari dalam diri membuka dan mengetuk pintu hati yang tertutup.

Rasullallah SAW bukan sekadar memperkenalkan punca atau asas kebaikan, tetapi lebih lagi dari itu, Baginda mengajar kita supaya membiasakan diri dengan kebaikan adalah jiwa hidup, bergerak dan berkesan. Jiwa yang kaku dan beku adalah jiwa yang mati sebelum ajal yang tidak akan melahirkan apa-apa kebaikan darinya.

Firman Allah SWT yang bermaksud, "Adakah orang yang dilapangkan dadanya oleh Allah untuk menerima Islam, lalu ia tetap berada dalam cahaya (hidayah) dari Tuhannya sama dengan orang yang sesat (keras) hatinya (dengan kedurhakaan). Maka celakalah bagi mereka yang keras hatinya untuk menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka itu adalah dalam kesesatan yang nyata."

Az-Zumar, ayat 22.

Wallahhualam.

PETIKAN DARI :WWW.TRANUNGKITE.NET

No comments: