Monday, January 30, 2006

MINDA AKTIF

Minda aktif seorang muslim

Oleh Norasimah Sujai

BANYAK sekali seruan dalam Al-Quran dan Hadis agar umat Islam meningkatkan ilmu, membuka minda/hati, berfikir, merenung, meneliti, bermuhasabah dan sebagainya.
Proses pembukaan minda Muslim ini sudah berlaku ribuan tahun lamanya sebelum pakar fikir seperti Stephen Covey atau Edward de Bono membuat ana lisis mengenai peri penting membuka minda demi mengupas perkembangan di sekeliling kita saban hari.
Al-Quran ada menyuruh kita memikirkan pergantian hari. Jika dikupas helai demi helai lembaran harian, kita mungkin dapat melihat dan menghayati 'isinya' yang mengandungi penuh pengertian dan nilai yang tersimpan. Setiap hari dalam kehidupan kita, wujud kelaziman melakukan perkara harian seperti bangun pagi, bersolat subuh, pergi ke sekolah atau ke pejabat, melakukan kerja rumah, berjumpa teman dan sebagainya.
Dalam melakukan kerja harian ini, kita sering mengambil mudah bahawa ia adalah hanya sebagai suatu 'perkara biasa'. Namun, kita lazimnya terlupa bahawa apa yang kita anggap suatu kebiasaan sebenarnya sesuatu yang membentuk sejarah dan keperibadian diri yang ada pada kita sekarang.
Siapa diri kita hari ini adalah hasil daripada pengalaman dan perlakuan kita pada hari-hari sebelumnya. Begitu juga pandangan orang lain terhadap diri kita adalah hasil daripada penerimaan kita terhadap mereka.
Perubahan boleh bersifat kecil sehingga global seperti ledakan teknologi maklumat (Internet, SMS, MMS dan sebagainya).
Namun, ada banyak perkara lain yang berkaitan dengan perubahan ini yang sepatutnya tidak diambil lewa.
Antara yang utama ialah isu keluarga Muslim - kadar perceraian tinggi (satu setiap tiga perkahwinan). Ia bersangkut-paut dengan ekonomi keluarga, komunikasi, pembentukan akhlak dan keakraban keluarga.
Dengan adanya peluang berkomunikasi melalui teknologi, tidak seharusnya kita mengurangkan perhubungan bertentang muka dengan isteri atau anak, lebih-lebih lagi untuk menziarahi sanak saudara, sahabat handai dan tetangga.
Hubungan melalui teknologi moden juga boleh memudahkan tetapi janganlah ia dianggap sebagai pengganti masa kerana masa yang digunakan untuk saling berziarah sangat besar ertinya dan berkait kuat dengan kehalusan pekerti dan sikap timbang rasa.
Masa-masa yang kita lalui bersama keluarga dan teman setiap hari janganlah dianggap mudah.
Perkara seperti ini terkait pula kepada masalah kesihatan kerana tekanan, masalah ekonomi kerana kehilangan mata pencarian, masalah menangani perhubungan dengan anak-anak dan masalah lain yang menyebabkan kemuraman dalam hubungan keluarga.
Bagi anak-anak pula, kesan kehilangan ayah atau ibu, terutama akibat perceraian, amat dirasakan. Suatu kebiasaan yang selalu dirasakan setiap hari seperti kasih sayang dan kemesraan ibu bapa, masakan ibu, gurau senda dalam keluarga tiba-tiba pergi bagai direntap daripada 'kebiasaan' hari-hari yang selalu dimiliki.
Apabila perkara seperti ini berlaku, barulah kita menyedari betapa pentingnya setiap detik yang berlalu. Barulah kita rasai dan mengerti akan tingginya nilai masa yang kita lalui.
Alim besar Indonesia, almarhum Profesor Hamka, pernah berkata, 'Hidup ibarat rantai kesulitan yang sambung-menyambung. Kesusahan tidak dapat dielakkan, hanya ditempuh dengan hati yang tabah. Melalui keberanian, menunjukkan kesanggupan manusia menempuh hidup.'
Maka itu, adalah elok jika kita dapat kupas kembali setiap malam yang berlalu supaya boleh kita contohi dan perbaiki diri serta pertingkatkan iman.
Apabila kita sedar dan mampu mengupas helai demi helai lembaran harian, kita akan dapati pengertian dan nilai hidup yang tersimpan. Dengan mengembang kan minda, banyak hal yang kita tidak tahu akan kita ketahuinya, sesuai dengan keinginan kita.
Terdapat banyak ayat Al-Quran dalam hal ini khususnya dalam Surah Al-Rahman ayat 33 bermaksud:
'Wahai jemaah jin dan manusia, jika kamu sanggup menembusi (melintasi) penjuru langit dan bumi, maka lintasilah, kamu tidak dapat menembusinya melainkan dengan kekuasaan atau dengan ilmu dan bukakanlah minda anda seluas-luasnya.'
...........................Nota: Penulis, ibu empat anak dan masih belajar bagi sarjana muda, kini bertugas di Jamiyah Singapura.

petikan dari :www.buletinonline.net

No comments: