Monday, January 09, 2006

kata-kata nasihat untuk sahabat-sahabat dan bagi mereka yang " BERFIKIR "

Petikan:
" Sungguh ajaib hakikat penciptaan hati ini. Kelajuan perjalanannya tidak terhitung lajunya dan ruang gerakannya tiada batas sempadan tempat. Bahkan bila jasad mati, hati terus hidup di alam Barzakh sehingga ke alam Akhirat "

Pernahkah kita terfikir ada suatu keajaiban di dalam diri kita yang kita sendiri tidak mampu mengawalnya? Ia diberi keupayaan untuk merasa senang dan susah. Ia juga sangat sensitif terhadap apa yang berlaku, yang didengar, dilihat dan dirasa. Dari sanalah ia menentukan sikap kita sama ada positif atau negatif. Yang peliknya, ia boleh bertukar-tukar rasa. Adakalanya dia rasa senang bila dipuji, rasa menderita apabila dikeji. Rasa riyak dan megah pula timbul bila mendapat kelebihan dan kejayaan. Hairan dengan diri bila mampu buat sesuatu yang orang lain tidak mampu. Tapi tiba-tiba rasa rendah diri dan hina diri bila ada kekurangan. Rasa sombong dan angkuh apabila berkuasa dan memiliki ilmu lebih dari orang lain. Rasa marah bila dihina orang. Rasa tidak senang bila tengok orang lain dapat lebih. Berdendam pula bila ada orang menganiaya diri. Simpati dan belas kasihan bila melihat orang kesusahan. Rasa keluh kesah bila mendapat kesusahan dan ditimpa penyakit. Rasa terhutang budi dan berterima kasih kepada orang yang menolong kita. Rasa gerun bila berdepan dengan sesuatu yang menakutkan. Rasa jijik pula bila berdepan dengan benda-benda kotor. Itulah dia hati atau roh.

Memang sungguh ajaib hakikat penciptaan hati ini. Kelajuan perjalanannya tidak terhitung lajunya dan ruang gerakannya tiada batas sempadan tempat. Bahkan bila jasad mati, hati terus hidup di alam Barzakh sehingga ke alam Akhirat. Hati atau rohlah yang akan menanggung azab dan nikmat yang dilakukan oleh jasad lahir semasa hidup di dunia.

Tempat letaknya roh ini ialah di dalam hati jasmani. Hati manusia berbeza dengan hati haiwan. Hati manusia boleh menerima perintah dan larangan dan dipanggil rohul amri. Manakala roh haiwan tidak boleh menerima perintah dan larangan dipanggil rohul hayah.

Yang ajaibnya, hati yang boleh beralih-alih rasa itu, ia sebenarnya boleh dirangsang oleh faktor-faktor luar. Perasaan ini pula akan mempengaruhi sikap lahir manusia. Kalau rasa baik, baiklah tindakannya dan kalau rasa jahat, maka jahatlah tindakannya. Dengan kebolehan inilah hati seolah-olah raja yang bertakhta di dalam diri manusia. Dialah bakal menentukan baik buruknya manusia. Namun ia ada penasihat iaitu akal. Sementara anggota-anggota lahir sebagai rakyat jelata yang sentiasa menurut perintahnya.

Sepertimana yang berlaku di dalam sesebuah kerajaan, pasti ada sahaja musuh yang suka melihat sesuatu kerajaan itu kucar-kacir. Begitu juga di dalam diri manusia, nafsu dan syaitan merupakan musuh utama roh manusia. Begitulah rupanya struktur kerja yang berlaku di dalam diri manusia yang perlu difahami dan diberi perhatian.

Kerana baik jahatnya seseorang manusia sangat bergantung kepada pengurusan yang ada di dalam diri manusia itu. Siapa yang mengabaikan hati, ertinya dia membiarkan dirinya berjalan di dalam keadaan yang gelap dan meraba-raba hingga menyebabkan banyak benda yang dilanggarnya. Kalau di dunia pun nasibnya belum tentu selamat apalagi kalau di Akhirat nanti.

Sebab itu Allah memerintahkan supaya kita mendidik hati kita supaya sentiasa berlaku taat kepada-Nya sepertimana
 maksud firman-Nya:
"Beruntunglah siapa yang membersihkan hatinya dan rugilah siapa yang mengotorinya." (As Syams :9)

"Pada hari itu, tidak berguna lagi harta dan anak-anak. Kecuali mereka yang pergi menghadap Allah dengan membawa hati yang selamat." (Asy Syuara : 88-89)

Bagaimana sepatutnya hati seorang mukmin itu?

1) Sensitif dengan Tuhan.
Merasa takut dan gerun dengan kekuasaan Allah. Allah boleh berbuat apa sahaja tanpa perlu berunding dengan manusia. Manusia terlalu lemah untuk menolak sebarang takdir Allah. Katalah berlaku banjir di suatu kawasan perumahan, kalaupun mereka yang tinggal di situ adalah golongan yang berharta dan mempunyai kuasa, tapi mampukah mereka mengalihkan banjir ke kawasan lain? Sudah tentu tidak mampu. Mereka mampu sekadar menyelamatkan diri, kalaupun belum terlewat. Begitulah bukti lemahnya manusia.

2) Orang mukmin bila mendapat kejayaan, nikmat, kemudahan hidup, kelapangan hidup, hatinya terasa syukur kepada Allah.
Dia merasakan semua itu pemberian Allah, bukan hasil usahanya. Kalaupun dia berusaha tapi bila Allah tidak izinkan, pasti dia tidak mampu melakukannya. Sebagai contoh, berapa ramai di kalangan tokoh-tokoh korporat yang dulunya menguasai perniagaan tapi terpaksa menanggung hutang yang banyak bila menghadapi kemelesetan ekonomi. Sebab itu bagi orang mukmin, kalau keuntungan dan nikmat diperolehi, dia merasa terhutang budi dan malu dengan Allah. Walaupun dirinya masih banyak melakukan dosa dan tidak membuat apa-apa bakti kepada Allah, namun Allah sudi lagi mengurniakan berbagai-bagai nikmat kepadanya.

3) Jika terbuat dosa, sekalipun dosa kecil, apalagi kalau dosa besar, hatinya akan merasa resah gelisah, takut dan hilang ketenangan.
Rasa menyesalnya bukan kepalang. Dia merasa bersalah dengan Tuhan. Bersungguh-sungguh dia meminta ampun kepada Tuhan. Bukan sahaja matanya menangis, hatinya pun turut menangis sama mengenangkan kejahatan yang dilakukan. Yang paling ditakutinya bila dosa tidak terampun, bermaksud tentulah Allah tidak redha kepadanya. Tanpa keredhaan Allah hilanglah bahagia di dunia lebih-lebih lagi di Akhirat.

4) Hati orang mukmin sentiasa rasa di awasi Tuhan.
Allah mendengar, melihat, mengetahui apa sahaja yang dilakukan setiap detik, setiap masa dan ketika. Semua manusia tidak terlepas dari pengawasan-Nya. Kerana itu, orang mukmin sangat menjaga hukum dan perintah Allah walaupun berhadapan dengan keinginan nafsu yang sedang memuncak.

5) Kalau diuji oleh Tuhan, hati orang mukmin sabar dan redha. Bahkan tenang dengan ujian dan kesusahan hidup. Dia bersangka baik dengan Allah bahawa ujian adalah untuk penghapusan dosa atau peningkatan darjat di sisi Tuhan. Kalau diuji dia tidak pun melatah, marah-marah, keluh kesah, apalagi merungut-rungut dan mengungkit-ungkit. Sekalipun difitnah, ditohmah, dihina, disakiti, atau ditimpa bencana alam, dia sedar kesemuanya merupakan ujian dari Allah dan Allah tidak bermaksud untukmenyusahkan hamba-Nya melainkan ada hikmah di sebalik kejadian tersebut.

6) Hati orang mukmin sangat merendah diri dengan Tuhan.
Dari setitis air mani yang hina, manusia terlalu lemah dan tiada kuasa apa-apa yang boleh dilakukannya kalau bukan dengan kehendak Allah. Setiap detik manusia memerlukan Tuhan di dalam hidupnya.

7) Sentiasa terkenang nikmat-nikmat Allah yang terlalu banyak yang belum pun sempat di hitung, Allah tambah lagi nikmat-Nya. Nikmat ilmu, nafas, akal, air, makanan, harta, anak isteri, bumi, langit, haiwan, tumbuhan dan seluruh alam semesta yang tidak pernah kita minta. Allah jadikan kesemuanya itu untuk keperluan manusia. Berapa banyak nikmat yang tidak kita minta dan belum pun kita syukuri telah Allah berikan.

Justeru itu sepatutnya kita malu bila mendesak-desak Tuhan supaya kabulkan permintaan kita yang belum Dia tunaikan. Begitulah Maha Baiknya Tuhan yang setiap detik memberi nikmat tanpa meminta kita membalasnya.

Begitulah beberapa ciri hati orang mukmin yang sepatutnya kita rasakan. Hati yang dapat merasakan perkara-perkara di ataslah hati yang membawa keikhlasan, kejujuran, kasih sayang dan harmoni di dalam masyarakat. Akhirnya dari hati inilah yang akan membuahkan keamanan, kedamaian dan kebahagiaan yang diidam-idamkan. Tetapi kalau di dalam hati penuh dengan sifat hasad dengki, pemarah, tidak boleh berlapang dada, sombong, iri hati, salah menyalahkan orang lain dan berbagai-bagai lagi sifat yang negatif, mustahil akan melahirkan masyarakat yang harmoni. Justeru itu mari kita sama-sama membina hati yang baik agar segala masalah yang kronik dapat diselesaikan dengan segera.
CERITA RINGKAS
13/12/2005
1. Doa pemuda soleh
Seorang pemuda soleh mengunjungi sebuah kedai roti. Dia memerhatikan roti-roti yang disusun berbaris kemas di atas meja.

“Berapakah harga sebuku roti itu?” tanyanya sambil menunjukkan sebuku roti yang nampak segar seperti lepas dimasak.

“Tidak mahal, hanya satu dirham sahaja,” jawab penjaga gerai itu dengan muka manis.

Pemuda itu menyeluk sakunya untuk mengeluarkan wang. Dahinya tiba-tiba berkerut, tangannya masih di dalam saku tercari-cari. Ke mana perginya wang aku, hatinya kecil tertanta-tanya.

“Minta-maaf, saya sudah kehilangan kesemua wang saya. Baru sebentar tadi ia masih ada,” jelas pemuda soleh kepada penjaja.

Seorang lelaki yang mengenali peribadi pemuda soleh itu terus berkata,
” Ya Allah, kudungkanlah tangan orang yang mencuri wang pemuda ini.”

Mendengar doa orang itu, pemuda soleh terus berkata, “Wahai Tuhan, jika wang itu diambil kerana desakan hidup untuk memenuhi keperluan, berkatilah dia. Tetapi jika ia diambil kerana tidak takut kepada dosa, moga-moga inilah dosanya yang terakhir.”

2. Beriman Kerana Terbela
Semasa Sultan Salahuddin Al Ayubi berada di dalam khemahnya, dia terdengar suara wanita yang sedang menangis, lalu ia memerintahkan agar wanita itu dibawa mengadapnya.

“Kenapakah ibu menangis? Apakah musibah yang menimpa diri ibu?” tanya Sultan.

“Wahai sultan, hidupku kini sebatang kara, sedangkan aku sudah tua. Anak lelakiku telah hilang dalam peperangan dengan tenteramu. Aku tidak tahu sama ada dia masih hidup atau sudah mati. Sementara suamiku pula telah menjadi tawanan tuan, padahal dialah yang menyara nafkah hidupku,”  kata wanita tua itu lagi.

Sultan Salahuddin lalu memerintahkan supaya dibebaskan suami wanita tersebut dan dicarikan anaknya. Rupa-rupanya anak lelakinya masih hidup dan dia pun dibawa kepada ibunya.

Wanita itu terlalu gembira dan terharu dengan kebaikan ajaran Islam yang ditunjukkan oleh penganutnya, akhirnya kedua-dua suami isteri itu memeluk Islam di tangan Sultan Salahuddin.

3. Hebatnya kanak-kanak generasi pertama Islam!
Anak-anak orang mukmin sedang asyik bermain di pinggir kota Madinah. Tiba-tiba suasana gempar seketika. Anak-anak tadi bertempiaran lari menyembunyikan diri. Mengapa?

Rupa-rupanya mereka melihat Sayidina Umar ibnu Khattab sedang berjalan melalui tempat mereka bermain. Anak-anak kecil itu gerun dengan sikap tegas yang ada dalam jiwa Umar. Namun ada seorang budak yang tidak ikut lari, malah terus bermain seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.

Sayidina Umar lalu bertanya, “Mengapa engkau tidak lari bersama kawan-kawanmu?”

Anak itu menjawab dengan berani, “Saya tidak berbuat kesalahan apa-apa, mengapa saya harus takut. Lagipun jalan ini masih luas untuk tuan lalu.”

Sayidina Umar tersenyum melihat keberanian dan kecerdasan anak tersebut.

“Siapa namamu?” tanya Sayidina Umar.

“Abdullah bin Zubair.”

Abdullah bin Zubair adalah anak Asma’ binti Abu Bakar. Inilah jiwa kanak-kanak Islam zaman kegemilangan Islam dahulu yang hanya takut kepada Tuhan, bukan pada manusia

4. Mudahkan Jangan sukarkan
Seorang Badwi telah datang kepada Rasulullah kerana hendak memeluk Islam. Rasulullah saw bertanya kepadanya tentang Allah SWT. Lalu Badwi itu menunjukkan tangannya ke langit seolah-olah ia mahu menyatakan kepada Nabi saw bahawa Allah itu adalah Tuhan. pada wajahnya terbayang sifat ketulusan hati yang menyenangkan.

"Dan aku ini siapa?"tanya Rasulullah lagi.

"Tuan adalah Muhammad, Pesuruh Allah," ujarnya.

Setelah mendapat jawapan yang sederhana itu, Nabi saw lantas tersenyum lalu mengajak Badwi itu duduk dekat baginda. Dengan itu rasmilah Badwi itu sebagai pemeluk Islam.

Demikianlah Nabi saw telah menunjukkan contoh terbaik bagaimana menuntun orang kepada Islam mengikut taraf akal seseorang. Yang lebih penting ialah melahirkan pembelaan dan kasih sayang kepada mereka hati tetap teguh dalam Islam.

5. “Bagaimana dengan Allah?”
Dalam satu rombongan (kafilah) ada seorang lelaki telah terpikat kepada seorang perempuan.

Setelah hari sudah jauh malam, dia mula menghampiri perempuan itu untuk menggodanya.

Perempuan itu pun berkata, “Lihatlah adakah orang-orang itu telah tidur semuanya?”

Gembiralah lelaki itu kerana menyangka harapannya akan dipenuhi. Setelah mengelilingi rombongan kafilah tersebut, didapatinya semua orang telah tidur.

Dia pun berkata, “Betul, semua orang telah tidur,”

Perempuan itu bertanya, “Bagaimana pendapatmu mengenai Allah SWT. Tidurkah Ia di saat ini?”

Lelaki itu tersentak, lalu menjawab,” Sesungguhnya Allah SWT tidak pernah tidur dan tidak pernah mengantuk!”

Perempuan itupun berkata, “Sesungguhnya Tuhan memang tidak tidur dan memang tidak pernah tidur. Dia akan melihat kita, walaupun manusia tidak melihat. Maka lebih tepat kalau kita takut akan Dia.”

Lelaki itu sedar dan terus meninggalkan niat jahatnya itu lantaran takut kepada Allah Yang Maha Melihat Lagi Maha Mengetahui. Dia bertaubat dan kembali ke rumahnya.

Setelah dia mati ada orang bermimpi bertemu dengannya, lalu bertanya, “Bagaimana keadaanmu?”

Lalu dijawab, “ Allah telah mengampuni Aku sebab takutku kepada-Nya dan meninggalkan perbuatan dosa itu."

No comments: